Ajaib! Lelaki Ditembusi Besi Selamat Dibedah !



NEW DELHI 18 Julai - Seorang lelaki India berjaya diselamatkan setelah menjalani satu pembedahan yang disifatkan sebagai ajaib apabila bahagian kanan dadanya tertusuk sebatang besi berukuran 1.5 meter panjang.

Dalam kejadian semalam, besi yang berada di satu tapak pembinaan itu dilanggar oleh teksi yang dinaiki oleh Supratim Dutta, 23 tahun.

Besi yang mempunyai ukuran lebar 60 sentimeter itu terus menembusi bahagian enjin hadapan, bahagian papan pemuka kereta dan terus menembusi dada Dutta yang ketika itu duduk di bahagian penumpang hadapan.

Walaupun cedera parah, Dutta masih berada dalam keadaan sedar dan terus menelefon keluarga dan rakan memberitahu kemalangan yang menimpa beliau.

Beliau bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga hampir sejam sebelum dibawa ke hospital.









Times of India melaporkan, pembedahan yang memakan masa selama tiga jam itu berjaya mengeluarkan besi seberat enam kilogram yang turut menembusi organ hati, perut, limpa dan paru-paru kiri Dutta.

Bahagian diafragma lelaki itu juga terbelah dua sehingga menyebabkan ada tulang rusuk yang patah.

“Mujur besi itu tidak mengenai jantung Dutta. Sepanjang saya berkhidmat selama 35 tahun di sini, ini adalah pertama kali saya temui kes seperti ini,” kata doktor yang merawat Dutta, M.C. Misra.

Pembedahan yang dijalankan di All India Institut of Medical Sciences itu dikatakan begitu sukar kerana usaha mengeluarkan batang besi mengambil masa yang panjang, sedangkan dalam masa yang sama Dutta mengalami pelbagai kecederaan dalaman.

“Akhirnya tiga tulang rusuk Dutta terpaksa dipotong bagi membolehkan besi itu dikeluarkan.

”Mujur dia selamat dan berada dalam keadaan stabil, namun sebarang infeksi yang berlaku selepas pembedahan akan membahayakan nyawanya,” kata Misra. Herald/kap

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Belajar Bahasa Inggris